Pengenalan
- Bahagian Kesihatan Awam Dan Perlesenan Majlis Daerah Kuala Pilah adalah merupakan bahagian yang bertanggungjawab menyelaras dan menyelenggarakan permohonan lesen perniagaan yang beroperasi dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Pilah. Bahagian ini juga bertanggungjawab dalam urusan pemantauan aktiviti perniagaan khususnya bagi perniagaan penjualan makanan dan minuman agar berjalan lancar selari dengan Peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.
- Bahagian ini juga menyelia kerja-kerja pengurusan sisa pepejal, pemotongan rumput, pemantauan bandar dan pengawasan pembersihan yang dijalankan oleh Syarikat Southern Waste Management Sdn.Bhd melalui penswastaan berpusat mulai 1 Januari 2003. Bermula daripada tahun 2002, pihak Majlis melalui bahagian Kesihatan Awam dan Perlesenan MDKP telah menubuhkan Unit Vektor bagi menjalankan kerja-kerja kawalan seperti Kajian Aedes, Pembersihan Kawasan Pembiakan dan semburan "fogging" bagi mengawal rebakan penyakit melalui bawaan vektor. Secara amnya, kebanyakan aktiviti yang dijalankan oleh bahagian ini adalah berpandukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171 dan Undang-undang Kecil yang diterima pakai oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.
Objektif
- Mengawal dan meninggikan lagi taraf kesihatan awam penduduk yang tinggal dalam kawasan operasi Majlis Daerah Kuala Pilah agar mereka dapat hidup dalam suasana yang selesa dan tenteram. Memastikan tahap kebersihan Bandar dan tempat-tempat awam berada dalam keadaan terkawal.
- Mencegah daripada wujudnya penyakit berjangkit sama ada penyakit bawaan makanan dan air mahupun bawaan vektor.
- Mengawal dan meningkatkan lagi taraf kebersihan mutu makanan dari peringkat penyediaan hingga ke peringkat penjualan.
- Menentukan semua jenis perniagaan yang beroperasi dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Pilah dilesenkan dan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
- Mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk di dalam kawasan operasi Majlis Daerah Kuala Pilah bahawa betapa pentingnya menjaga aspek kebersihan dan kesihatan alam sekitarnya.
- Melaksanakan Akta Dan Undang-undang Kecil yang berkaitan dengan Kesihatan Awam Dan Perlesenan Majlis Daerah Kuala Pilah.
Fungsi Bahagian
- Memproses semua permohonan lesen-lesen perniagaan yang perlu dilesenkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-undang Kecil yang sedia dipakai oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.
- Menyelenggara dan menyimpan rekod-rekod pendaftaran pengeluaran lesen-lesen yang telah dikeluarkan.
- Menguruskan proses peruntukkan gerai atau petak niaga dan penjaja serta mengawal dan melesenkan penjaja berdasarkan peruntukkan Undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-undang Kecil Penjaja Majlis Daerah Kuala Pilah.
- Menyelenggara dan melesenkan semua pasar-pasar awam atau persendirian meliputi penguatkuasaan Undang-undang Kecil Pasar Majlis Daerah Kuala Pilah.
- Mengawal perkembangan dan melesenkan pasar-pasar lambak, mingguan, malam dan lain-lain yang berkaitan di seluruh kawasan operasi Majlis Daerah Kuala Pilah.
- Melesenkan premis-premis perniagaan, kilang-kilang makanan dan minuman dan juga melesenkan premis yang menjalankan apa-apa tred, perniagaan, perindustrian dan lain-lain profesyen yang terdapat dalam kawasan operasi Majlis Daerah Kuala Pilah.
- Mengawal dan melesenkan kantin-kantin yang terdapat dalam kilang, sekolah dan juga pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta.
- Mengawal dan menjalankan kerja-kerja pemantauan dalam aktiviti Kawalan Mutu Makanan.
- Kawalan penyakit berjangkit sama ada bawaan makanan dan air ataupun bawaan vektor.
- Kawalan kacau ganggu yang timbul dari ternakan terbiar seperti lembu, kerbau, kambing serta ayam dan itik.
- Menjalankan kerja-kerja penyeliaan dan pemantauan ke atas Syarikat Sourthen Waste Managemant Sdn. Bhd. yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengurus pengutipan sisa pepejal, pembersihan longkang, pemotongan rumput, pembersihan pasar-pasar awam dan persendirian serta pembersihan tempat-tempat awam.
- Menjalankan penguatkuasaan Undang-undang mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta lain-lain Undang-undang Kecil yang diterima pakai oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.